25 September 2014

Penduduk Tukau Jaya antara termiskin di Sarawak

30 Zulkaedah 1435 . [MOD] -
 Jofri Jaraiee
Bersama penduduk Tukau Jaya

MIRI - Menurut kenyataan Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah dalam Utusan Borneo baru-baru ini sehingga kini jumlah ketua isi rumah (KIR) berdaftar dalam e-Kasih adalah 102,549 orang. Sarawak masih lagi mencatat jumlah kemiskinan tertinggi di Malaysia, dedah Datuk Fatimah Abdullah. Beliau memberitahu, sehingga 22 September 2014, jumlah keseluruhan ketua isi rumah (KIR) yang berdaftar dalam e-Kasih adalah seramai 102,549 orang.  Jelasnya daripada jumlah itu, seramai 26,335 KIR berpendapatan kurang daripada RM600 sebulan dan dikategorikan sebagai miskin tegar, 31,441 KIR berpendapatan RM920 sebulan pula dikategorikan sebagai miskin dan seramai 9,633 KIR berpendapatan RM1,500 pula mudah miskin. Menurutnya, seramai 35,140 KIR daripada jumlah itu pula dikategorikan sebagai terkeluar setelah mengikuti program yang dilaksanakan dalam e-Kasih.


Daripada fakta serta statistik yang didedahkan oleh Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah jelas menujukkan penduduk Sarawak ramai lagi hidup dalam kemiskinan dalam Malaysia. Kebanyakkan mereka ini tinggal di luar bandar dan juga di pedalaman Sarawak. Antara puncanya ialah tiada kemudahan asas serta jalan perhubungan yang sukar dilalui untuk menjualkan hasil pengeluaran mereka. Begitu juga dengan masalah mereka yang tidak mempunyai tempat tinggal serta kawasan untuk mereka bercucuk tanam.


Majlis Pemimpin PAS bersama penduduk Tukau Jaya

Masalah inilah dihadapi oleh penduduk di Tukau Jaya, di mana mereka sekarang menghadapi dilemma kerana kawasan tempat mereka tinggal serta tempat mereka bercucuk tanam akan diambil alih oleh syarikat-syarikat yang mempunyai kepentingan yang akan mengusahakan tanah mereka setelah mendapatkan pajakan sementara (PL) dari pihak kerajaan. Penduduk kampung hanya bergantung pendapatan dari hasil pertanian dan tangkapan ikan untuk menampung pembelanjaan harian mereka. Mereka juga boleh dikategorikan dalam golongan termiskin di Sarawak kerana purata penduduk di situ bekerja sebagai petani dan nelayan.

Menurut seorang penduduk yang dikenali sebagai Sibutir, kehidupan penduduk di kampung Tukau Jaya akan terjejas sekiranya pihak pemaju atau syarikat yang mendapat PL mengusir mereka dari tempat kediaman mereka sekarang. Disebabkan mereka tidak memiliki geran tanah dan kebanyakan mereka hanya bergantung dengan hasil pendapatan dari pertanian dan hasil tangkapan ikan sudah tentu harapan mereka untuk mempertahankan hak mereka agak sukar.


Majlis penyerahan dokumen tanah Tukau Jaya 

Mereka sudah menetap di situ lebih daripada 50 tahun yang lalu di mana datuk nenek mereka meneroka tanah temuda sebagai tempat kediaman dan bercucuk tanam. Mereka juga telah beberapa kali memohon dan merayu kepada pihak berkuasa agar mereka diberikan geran tanah untuk kediaman dan tempat bercucuk tanam tetapi sehingga kini pemohonan mereka tidak diberi perhatian oleh pihak berkuasa sedangkan pihak syarikat yang baru memohon dengan mudah mendapat PL dari pihak berkuasa.

Kita dengan tegas mengesa agar pihak kerajaan segera mengatasi masalah ini dengan memberi mereka geran tanah serta tempat mereka bercucuk tanam untuk menampung kehidupan harian mereka. Sekiranya pihak kerajaan mengabaikan nasib mereka ini, sudah pasti mereka ini juga akan tergolong dalam kategori miskin tegar dalam Sarawak. Sekiranya perkara ini tidak dapat diselesaikan dengan baik, sudah pasti Sarawak akan terus menjuarai negara termiskin dalam Malaysia. Walaupun Sarawak mempunyai banyak sumber hasil bumi tetapi apabila rakyat Sarawak hanya bergantung kepada subsidi kerajaan dan mereka tidak diberi peluang untuk mencebur diri dalam bidang pertanian secara komersial maka rakyat yang miskin akan terus hidup dalam kemiskinan. Hanya golongan kapitalis dan kroni yang akan terus menguasai dan pemilikan tanah di Sarawak disebabkan mereka mudah mendapatkan keistimewaan dari pihak berkuasa.

Kita mengesa agar kerajaan Sarawak berlaku adil kepada setiap rakyat yang memerlukan tanah untuk tempat kediaman dan juga tempat untuk mereka bercucuk tanam dengan memberi mereka geran tanah serta memberi peruntukan serta tunjuk ajar cara-cara komersial untuk menambah hasil pendapatan mereka. Dengan cara ini, sekurang-kurangnya rakyat boleh berdikari setelah mereka mendapat tunjuk ajar yang terbaik dari pihak yang berkenaan. Jangan jadikan rakyat hanya bergantung kepada subsidi kerajaan semata-mata tanpa diberi tunjuk ajar bagaimana untuk hidup berdikari daripada hasil usaha sendiri.

Masalah kemiskinan rakyat Sarawak hanya dapat dikurangkan sekiranya pihak kerajaan dapat membina lebih banyak rumah kos rendah dan mampu milik untuk rakyat yang berpendapatan rendah serta memberi geran tanah kepada penduduk kampung yang sudah lama menetap di kampung mereka. Kerjasama dengan pihak kerajaan untuk mengatasi masalah kemiskinan rakyat Sarawak amat dihargai.

Dalam satu majlis pemimpin PAS bersama rakyat yang diadakan di kampung Tukau Jaya baru-baru ini, seorang wakil penduduk telah menyerahkan dokumen berkenaan dengan masalah tanah mereka kepada pihak kami. Dalam majlis yang sama, seramai 46 penduduk kampung Tukau Jaya telah mengisi borang keahlian PAS dan DHPP (Dewan Himpunan Penyokong PAS). Penyerahan borang diketuai oleh En. Butir kepada Tan Sri Muhamad Haji Mohd Taib yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Lajnah Penerangan dan Hubungan Media PAS Pusat disaksi oleh YDP PAS Miri.

Mereka menyatakan kesesalan mereka selama ini kerana segala aduan dan masalah mereka tidak diambil tindakan oleh pihak berkuasa terutama dalam masalah tanah di mana mereka tinggal sekarang. Mereka merayu dan berharap masalah mereka mendapat perhatian dari pihak berkuasa terutama dalam hal-hal yang berkaitan dengan geran tanah tempat kediaman kerana sekiranya dihalau keluar dimana mereka hendak mencari tempat tinggal baru, sedangkan sekarang ini untuk mendapatkan tapak tinggal baru amat sukar terutama dalam kawasan bandaraya Miri.

Mereka juga merayu agar pihak berkuasa memberi mereka geran tanah pada tempat mereka tinggal sekarang. Di samping itu kemudahan asas seperti bekalan air bersih, letrik juga amat diperlukan begitu juga jalan kampung yang teruk perlu diperbaiki dengan segera. Semoga kampung Tukau Jaya dapat diwartakan dan dinaik taraf menjadi sebuah kampung oleh pihak kerajaan.

Jofri Jaraiee
PAS, Sarawak

Tiada ulasan: