04 Disember 2011

8 kanak-kanak maut diserang kelawar di Ecuador

8 Muharram 1433H. [MOD] -

QUITO: Sekurang-kurangnya lapan kanak-kanak di wilayah Amazon, Ecuador terkorban hari ini selepas diserang kelawar.

"Sehingga kini, lapan kanak-kanak sudah disahkan meninggal dunia,” kata Menteri Kesihatan, David Chiriboga dalam satu kenyataan selepas pertemuan dengan Presiden Rafael Correa.

Kematian dilaporkan sejak 17 November lalu di kalangan komuniti penduduk asli yang terpinggir di wilayah Morona Santiago.

Correa berkata, pihak berkuasa cuba untuk meyakinkan rakyat tempatan supaya tidak takut untuk mendapatkan rawatan moden berikutan mereka lebih yakin mengamalkan perubatan trasidional selepas anak mereka diserang haiwan mamalia itu. - AFP

Perompak guna pistol mainan dibelasah mangsa

8 Muharram 1433H. [MOD] -

ALOR SETAR: Cubaan kali keempat seorang lelaki merompak sebuah kedai serbaneka 24 jam yang sama dengan menggunakan pistol mainan di Jalan Sultanah di sini, gagal malah dia dipukul pekerja kedai tersebut dalam satu kejadian 4.40 petang semalam.

Perompak terbabit yang juga bekas anggota tentera yang lari daripada tugas sebelum itu, sudah tiga kali berhasil merompak kedai berkenaan namun percubaan kali keempatnya digagalkan pekerja kedai serbaneka itu.

Pekerja kedai tersebut, Md Mizan Nur Rahman, 37, berkata ketika kejadian rakannya, Md Shairajul Islam, 32, berada di kaunter pembayaran semasa seorang lelaki meluru masuk dan terus mengacukan "pistol."

Perompak itu meminta Shairajul memasukkan wang tunai RM500, rokok, barang kosmetik dan kad tambah nilai telefon bimbit ke dalam beg plastik, sama seperti tiga kes rompakan yang dilakukannya sebelum itu.

"Shairajul bagaimanapun enggan menuruti kehendaknya menyebabkan perompak itu bertindak agresif dan pada masa sama Shairajul mengambil parang dari bawah kaunter untuk menghalang perompak itu.

"Masa tu saya nampak Shaijarul bergelut dengan lelaki itu yang menggigit kedua-dua telinga kawan saya. Saya terus tolong Shairajul melawan dan memberkas perompak itu," kata Md Mizan kepada pemberita di tempat kejadian petang semalam.

Perompak itu yang cedera akibat dipukul di kepala dan Shairajul yang cedera ringan, diberi rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Setar, Supt Baharom Abu, mengesahkan pekerja kedai serbaneka warga Bangladesh sudha menguhubungi polis selepas berjaya memberkas perompak tersebut.

Katanya, lelaki berumur 29 tahun itu dibawa ke HSB untuk diberi rawatan akibat kecederaan di kepala.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan dan lelaki itu direman bermula hari ini sehingga Sabtu ini.

Beliau berkata, siasatan awal polis mendapati lelaki itu melakukan beberapa siri samun di sekitar bandar raya ini manakala motosikal yang digunakannya dilaporkan hilang di Ampang, Kuala Lumpur pada 2008. - BERNAMA

Gempa bumi 5.7 magnitud gegar New Zealand

8 Muharram 1433H. [MOD] -

Gempa bumi berukuran 5.7 magnitud menggegarkan Wellington, Marlborough dan sebahagian Pulau Utara serta Pulau Selatan New Zealand, semalam.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan hari ini berkata, tiada kematian dilaporkan setakat ini, meskipun gempa bumi tersebut adalah yang terbesar melanda Wellington sejak 1966.

Kesemua rakyat Malaysia termasuk pelajar dilaporkan selamat dan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington akan terus memantau serta berhubung dengan semua pelajar yang berada di kawasan terjejas. -

Bai'ah: Daripada tiru, baik sertai PAS terus

8 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 4 Dis: Tindakan Umno yang mahu kepimpinan parti itu mengadakan sumpah bai'ah bagi mengelakkan tindakan khianat dan sabotaj oleh ahli sendiri, membuktikan mereka mengakui cara yang digunakan PAS.

Ahli Parlimen PAS Baling, Datuk Taib Azamuddin Md. Taib berkata, Umno yang sebelum ini mengecam amalan PAS mengadakan sumpah bai'ah bagi mengelakkan ahlinya lompat parti akhirnya terpaksa meniru cara tersebut.

"Kalau ini (sumpah bai'ah) lahir daripada hati dan keikhlasan orang Umno, ini menunjukkan apa yang dilakukan PAS selama ini yang dipandang serong oleh Umno telah diakui kebenarannya.

"Usia Umno yang sudah terlalu lama menunjukkan ia sudah jauh ketinggalan. Hakikat sebenarnya ialah apa yang dilakukan oleh Umno itu sebenarnya mengakui pendekatan yang dilakukan oleh PAS.

"Oleh sebab itu, daripada dia meniru (PAS) baik dia menyertai PAS terus," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Sewaktu perbahasan usul di Perhimpunan Agung Umno semalam, perwakilan Umno Terengganu, Komaruldin Omar mencadangkan diadakan sumpah bai'ah dengan merujuk kepada tindakan PAS dan dipersetujui para perwakilan yang lain.

Taib yang juga bekas imam besar Masjid Negara bagaimanapun berkata, sumpah bai'ah hanya terpakai untuk perkara bertujuan kebaikan dan kebenaran, bukan untuk tujuan kebatilan.

Tegasnya, Umno sebagai parti yang tidak meletakkan Islam sebagai dasar tidak wajar mengadakan sumpah bai'ah.

"Bai'ah boleh berlaku di atas sesuatu perkara untuk tujuan kebenaran...kalau bai'ah untuk tujuan kebatilan, bai'ah itu menjadi satu kemungkaran dan tidak termasuk dalam erti kata bai'ah yang sebenar.

"Jadi kalau Umno masih tidak meletakkan Islam sebagai dasar, maka bai'ah itu tidak ada gunanya Jadi tak perlulah orang Islam tertipu dan terpedaya dengan keadaan ini," katanya yang merupakan bekas imam Masjid Negara.

Tambahnya, tindakan Umno itu juga menunjukkan parti itu sudah berada dalam keadaan lemah dan terpaksa menggunakan apa sahaja cara untuk dijadikan 'tongkat' bagi meneruskan pemerintahannya.

"Inilah salah satu bukti yang boleh dilihat oleh masyarakat...dari segi spiritnya, politik Umno sudah memang terkapai-kapai...jadi apa sahaja yang dia rasa dia boleh capai untuk jadikan tongkat nak selamatkan parti, dia akan guna.

"Takkanlah masyarakat nak terima orang yang pakai tongkat untuk memerintah?" katanya.

Sementara itu, menyentuh dakwaan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak bahawa beliau berani dan sudah empat kali bersumpah berbanding Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang enggan bersumpah, Taib berkata, Najib masih belum keluar daripada kejahilannya.

"Kalau itu yang Najib mainkan, maksudnya dia masih belum keluar daripada kejahilan dia...walaupun nasihat dan pandangan telah diberi oleh para ulama dan mufti tapi kalau dia main lagi isu itu maksudnya dia orang yang tak sudi keluar daripada kejahilan," katanya.

Najib sebelum ini bersumpah laknat bahawa beliau tidak mengenali dan tidak terlibat dalam pembunuhan wanita Monggolia, Altantuyaa Sharibuu.

Harakahdaily/-

S'gor sedia bawa pakar asing siasat projek lembu

8 Muharram 1433H. [MOD] -

Kerajaan negeri Selangor sedia memperuntukkan dana bagi tujuan membiayai kos penyiasatan oleh pakar luar negara berhubung skandal projek ternakan lembu yang dikelolakan oleh Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC), kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

khalid ibrahim pc 171111Katanya, kaedah menggunakan penyiasat dari luar negara merupakan pendekatan yang sering digunapakai oleh kebanyakan negara maju bagi menyelesaikan jenayah kolar putih atau jenayah bersifat korporat.

"Saya serahkan kepada pengarah strategi PKR, Rafizi Ramli dan setiausaha PKR, Saifuddin Nasution. Mereka akan membuat pembentangan kepada pihak polis dan MACC supaya menunjukkan pekara yang perlu diperhatikan oleh pihak polis.

"Ini adalah perkara baru di Malaysia tetapi perkara ini sangat dijaga di Britain dan Australia," katanya dipetik oleh TV Selangor.

PKR sebelum ini mendakwa sejumlah RM250 juta dana awam diberikan kepada syarikat berkenaan yang dikaitkan dengan suami Menteri Pembangunan, Wanita dan Keluarga Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Bagaimanapun wang itu didakwa telah disalahguna sehingga projek tersebut dikatakan dalam 'kucar-kacir' seperti dirumuskan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2010.

azlanPKR kemudiannya mendedahkan wang tersebut digunakan oleh NFC bagi membeli dua buah unit kondominium mewah di Bangsar bernilai RM13.8 juta.

Selain itu, PKR turut mendakwa sejumlah RM5 juta pula dibelanja untuk membeli kereta Mercedes Benz dan tanah di Putrajaya serta RM588,585 disalurkan kepada syarikat-syarikat milik keluarga menteri itu.

Selain PKR, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) juga berpendapat siasatan awal mendapati beberapa kelemahan yang berlaku pada awal perancangan dan juga perlaksanaan.

NONEBagaimanapun, Khamis lalu Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar (kiri) berkata tiada unsur pecah amanah atau penyelewengan dalam isu dana NFC dan pembelian kondominium mewah berkenaan.

Isu projek lembu juga mencuri tumpuan pada perhimpunan agung Umno 2011 dengan sebahagian besar perwakilan menuntut penjelasan lanjut daripada ketua wanita Umno itu.

Malayskaini/-

Tinju World Championship kelas ‘heavyweight’


8 Muharram 1433H. [MOD] -Alexander Povetkin dari Rusia memerhati Cedric Boswell, dari AS, pada pertemuan profesional World Championship kelas ‘heavyweight’, di Helsinki, semalam. ― Foto Reuters

Isu NFC: Bung Moktar ulang gesa Shahrizat letak jawatan

8 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 3 Dis — Sementara rakan-rakannya menolak daripada menyentuh isu kontroversi projek ternakan lembu Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC), yang dikaitkan dengan keluarga Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Datuk Bung Moktar Radin (gambar) mempertahankan pendiriannya menggesa Ketua Wanita itu meletakkan jawatan.

Ahli Majlis Tertinggi Umno ini mendakwa isu NFC kini menjadi liabiliti kepada parti. Ahli Parlimen Kinabatangan yang lantang ini juga mengetepikan wujudnya sokongan padu bagi Shahrizat ketika persidangan agung sayap Wanita Rabu lalu.

Katanya: “Kita tidak tahu apa jenis sokongan itu.”

“Ini kerana tiada perwakilan yang dengan jelas menyatakan sokongan, sokongan bagi parti, ya ada, saya tahu,” kata beliau ketika ditemui di sisi Perhimpunan Agung Tahunan Umno 2011 di sini hari ini.

Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional ini mengaku isu NFC sudah menjadi liabiliti bagi Umno.

“Saya percaya sebab saya adalah penyokong kuat parti,” katanya.

Kata beliau, meskipun Shahrizat telah menjelaskan ketika perhimpunan tetapi apa yang lebih penting ialah persepsi publik.

“Ini bukan persoalan berkenaan penerangan. Saya fikir beliau sudah beri penjelasan.

“Ini bukan persoalan siapa yang salah. Ia adalah persoalan bagaimana publik menerimanya,” kata Bung Moktar lagi.

Bung Moktar berkata menjelang pilihan raya umum, adalah penting Umno tidak dilemahkan oleh skandal-skandal yang dikaitkan dengan mana-mana individu.

“Jadi, saya sudahkan pun menyatakan pendirian saya. Saya meminta beliau mempertimbangkan (keputusan agar letak jawatan)... disebabkan seorang individu, sebahagian terlibat,” kata beliau lagi.

Pertengahan bulan lalu, Bung Moktar memberitahu Dewan Rakyat bahawa menteri Kabinet yang bertanggungjawab dalam NFC patut meletakkan jawatan.

Perkara itu disebut sekali lalu ketika membahaskan ucapan penggulungan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Chor Har berkaitan Rang Undang-undang Perbekalan 2012.

“Pendirian saya cukup jelas, macam isu Fidlot, saya memang setuju ini bukan kerja Umno, ini kerja perseorangan. Pada saya orang ini harus bertanggungjawab.

“Kalau saya pada tempat ini, saya letak jawatan, menyusahkan. Dia punya kerja semua musnah. Mana tidak betul, kita kena betulkan.

“Walaupun dia menteri Umno, siapa dia, dia bersalah, letak jawatan lebih baik daripada jadi liabiliti keapda Umno dan Barisan. Kita tegas, sebab kita memerintah negara ini dengan adil,” katanya.

Ketika itu wakil rakyat tersebut tidak menyatakan nama menteri berkenaan di dalam dewan.

Tetapi kemudian Bung Moktar mengesahkan bahawa beliau merujuk kepada Shahrizat yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

themalaysianinsider/-

Qatar: Syria perlu terima pelan damai hari ini

8 Muharram 1433H. [MOD] -

DOHA, 4 Dis — Liga Arab memberi masa sehingga hari ini kepada Syria untuk menandatangani inisiatif mengakhiri kekerasan pihak tentera ke atas penunjuk perasaan prodemokrasi, kata menteri luar Qatar semalam.

“Ada beberapa perhubungan dengan Syria. Jika mereka mahu datang (dan menandatangani esok, mereka boleh datang,” kata Sheikh Hamad Jassim al-Thani yang bercakap di Doha selepas satu pertemuan dengan jawatankuasa petugas menteri-menteri luar Arab berkenaan perkembangan krisis Syria.

Jawatankuasa itu juga mengesahkan sekatan ke Syaria, membekukan aset membabitkan 19 pegawai kanan dan sekutu Presiden Bashar al-Assad selain larangan perjalanan ke negara-negara Arab, kata satu kenyataan.

Malah ia juga mengarahkan pengurangan 50 peratus penerbangan Syria. — Reuters

AGM Umno 2011 gagal jamin BN undi padu PRU-13

8 Muharram 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM, 4 Dis - Penganalisis politik Prof Dr Abu Hassan Hasbullah tidak yakin Umno akan memperoleh balik sokongan yang bulat meskipun Datuk Seri Najib Razak menyifatkan Perhimpunan Agung Umno yang berakhir semalam telah mencapai empat objektif dan meletakkan anggota parti dalam keadaan siap siaga menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Dalam ucapan penggulungannya, Najib selaku Presiden Umno dan Perdana Menteri berkata para perwakilan partinya telah mengarap dengan baik empat objektif yang ditetapkan oleh beliau pada permulaan perhimpunan itu.

“Saya rasa tidak. Sebab Perhimpunan Agung Umno kali ini gagal memberi, tidak meninggalkan satu harapan yang besar dan berkesan (kepada ahli-ahli Umno dan rakyat)... ia gagal membincangkan isu-isu yang besar menyentuh kepentingan rakyat kecuali perkara-perkara tertentu yang menjadi bahan jenaka dan menghentam pihak-pihak, individu tertentu.

“Mana ada perbincangan mengenai isu-isu alam sekitar, pembangunan, prasarana yang menyentuh soal dasar, polisi kerajaan.... tidak ada, jadi saya melihat ia tidak memberi harapan yang diharapkan,” kata beliau ketika ditemui selepas Forum “Bersekutu Mendesak Perubahan” anjuran Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) di sini malam tadi.

Oleh kerana ia tidak berjaya membawa kepada keyakinan dan harapan, Abu Hassan yang merupakan pensyarah Jabatan Pengajian Media Universiti Malaya menjelaskan, kemungkinan sukar bagi parti berkenaan mendapatkan balik sokongan penuh yang diharapkan oleh Najib sendiri.

Antara lain dalam ucapan penggulungannya Najib berkata bahawa perhimpunan yang berakhir semalam telah mencapai empat objektif iaitu pertamanya, beliau mahukan perhimpunan itu menggambarkan Umno satu parti yang ampuh dan bersatu serta menyakinkan berjuta rakyat dan pengundi bahawa Umno adalah sebuah keluarga dan sebuah organisasi politik serta teras politik tanah air dalam keadaan kukuh dan padu.

Objektif kedua, Najib mahukan perhimpunan itu membuktikan Umno sebagai sebuah parti bermaruah dan berada dalam tahap kesiapsiagaan menghadapi pilihan raya.

“Objektif ketiga, saya ingin supaya melalui perhimpunan ini kerajaan mendapat sokongan gagasan kita untuk membawa perubahan yang besar kepada negara kita yang kita gagaskan sebagai pelan transformasi nasional,” katanya.

Dalam objektif keempatnya, Najib telah mahukan perhimpunan itu menjadi pengisian dan memberi isyarat serta mesej yang jelas bahawa 12.4 juta pengundi dan 28 juta rakyat Malaysia boleh meletakkan keyakinan bahawa Umno akan membawa negara dan rakyatnya ke arah masa depan yang lebih cemerlang.

Najib juga berkata perhimpunan kali ini juga telah mencipta satu sejarah apabila ia diakhiri dengan satu ikrar atau bai’ah yang diketuai oleh timbalan presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin bertujuan untuk sumpah setia dan taat kepada parti dan pemimpin.

Dalam ucapan pada forum malam tadi, Abu Hassan juga menggesa pentadbiran Najib agar tidak meneruskan pembentangan Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011 yang dibantah banyak pihak.

“Saya sebagai ahli akademik tidak setuju dengan rang undang-undang ini,” kata Abu Hassan dengan lantang sambil menambah, beliau beliau sahaja tidak bersetuju malah ramai lagi.

Katanya, ramai tidak bersetuju kerana kerajaan gagal membawa bersama rakyat yang merupakan pihak utama berkepentingan untuk memberi pandangan.

“Saya berharap kerajaan kembali kepada rakyat semua lapisan untuk mendapatkan pandangan mereka. Ahli politik cuma satu lapisan dalam membuat keputusan. Dapatkan pandangan ahli akademik, doktor jurutera dan sebagainya.

“Masih ada masa, jangan teruskan pembentangan di Dewan Negara, balik kepada rakyat,” katanya sambil mempersoalkan objektif yang tersirat di sebalik penggubalan Rang Undang-undang Perhimpunan Aman dengan tergesa-gesa.

“Saya mengesyaki sesuatu, ada sesuatu yang tidak kena. Mengapa perlu digubal dengan tergesa-gesa, tiada keperluan yang terdesak untuk bawa undang-undang ini sekarang, penggubalan ini boleh dibawa tahun depan,” katanya lagi.

themalaysianinsider/-

13 Produk Makanan Di Kedai Rakyat 1Malaysia Tak Penuhi Spesifikasi Peraturan Kawalan Makanan 1985

8 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan mengesahkan bahawa sejumlah 13 jenis produk yang dijual di Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) tidak menepati spesifikasi Peraturan Kawalan Makanan 1985 dan tindakan telah diambil untuk memastikan ia dikeluarkan daripada rak-rak jualan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong berkata, produk-produk itu ialah susu segar, susu sejat, susu pekat manis, sos tiram, jem buah-buahan, kari ayam tin, kordial mangga, minyak sapi, kacang tanah, mentega kacang berkrim,mentega kacang ranggup, sardin tin, dan soso tomato.

Katanya, produk-produk ini juga tidak menepati spesifikasi penglabelan, komposisi produk dan tidak menepati aspek keselamatan makanan.

Liow juga berkata, ekoran dari itu, pihak kementerian turut menjalankan pemeriksaan ke atas 30 kilang yang membekalkan makanan-makanan berkenaan ke kedai KR1M.

Beliau menyatakan pihak kementerian juga telah mengambil 93 sampel dari 43 produk makanan yang dijual di KR1M untuk tujuan analisis.

Katanya lagi, Kementerian Kesihatan akan terus memantau kualiti makanan yang dijual di kedai KR1M dan konsumer yang mempunyai maklumat ke atas sebarang produk yang meragukan supaya menghubungi pihak berkuasa dengan serta merta.

Isu mengenai kualiti produk yang dijual di KR1M yang tidak mematuhi spesifikasi yang ditetapkan oleh kementerian telah dibangkitkan oleh ahli parlimen DAP, Tony Pua baru-baru ini.

Dalam hubungan ini, kata Liow tindakan Tony Pua mengumumkan tentang perkara tersebut secara terbuka telah menjejaskan pihak berkuasa menjalankan siasatan kerana apabila pemeriksaan dilakukan sebahagian daripada produk yang meragukan itu telah pun dikeluarkan dari rak jualan.

Bagaimanapun Liow berkata, pihak kementerian telah berjaya mengesan siapakah pihak yang mengeluarkan produk-produk makanan itu.

Tambah beliau dari Januari hingga Ogis tahun ini, 125,709 barangan yang dibawa masuk ke Malaysia telah diperiksa di bawah Sistem Maklumat Keselamatan Makanan.

“Hasil siasatan dan ujian mendapati, 1.1% daripada barangan ini didapati melanggar Akta Makanan 1983 dan Peraturan Kawalan Makanan 1985,” ujarnya.

Untuk produk tempatan pula, 41,518 sampel telah diambil dari Januari hingga September tahun ini dan daripadanya 4.9% telah didapati melanggar Akta Makanan 1983 dan Peraturan Kawalan Makanan 1985. mStar/-

36 terbunuh kemalangan jalan raya di Brazil

8 Muharram 1433H. [MOD] -

SAO PAULO 4 Dis. - Sekurang-kurangnya 36 orang terbunuh dalam kemalangan jalan raya hari ini antara sebuah trak dan sebuah bas yang membawa peladang di timur laut Brazil, lapor polis trafik.

Jurucakap polis berkata, pihak berkuasa masih menyiasat punca kemalangan tersebut yang turut mencederakan 13 orang di pekan Milagres, Bahia, 250 kilometer dari Salvador.

Kemalangan itu berlaku selepas tengah malam apabila pemandu-pemandu kenderaan tersebut saling memintas tetapi punca sebenar masih belum diketahui.

Saksi memberitahu stesen radio CBN, terdapat sebuah kenderaan lagi yang melanggar bas tersebut yang kemudiannya dilanggar oleh trak itu pula. - AFP