05 November 2009

K'tan mungkin tolak Petronas...

Kerajaan Kelantan sedang mengkaji kemungkinan membatalkan perjanjian menyerahkan hak cari gali kepada Petronas jika royalti petroleum tidak diberikan, kata exco ekonomi dan kewangannya.

Mengulas kenyataan perdana menteri untuk menyerahkan wang ehsan kepada Kelantan, Datuk Husam Musa berkata isu membatalkan perjanjian itu akan dikaji oleh panel peguam yang dilantik kerajaan negeri.

Keputusan tersebut dicapai dalam mesyuarat exco kerajaan negeri hari ini sebagai reaksi segera negeri itu terhadap pengumuman Datuk Seri Najib Razak pagi ini di Parlimen.

Dalam satu kenyataannya, Husam turut mempertikaikan penggunaan istilah "wang ehsan" sebagai bentuk bayaran kepada Kelantan, sedangkan "bayaran royalti" digunakan untuk bayaran di Terengganu, Sabah dan Sarawak.

"Nyata asas yang disebut oleh perdana menteri mengenai (kedudukan lokasi cari gali di luar pesisiran pantai sejauh) 3 batu nautikal adalah tidak berasas bagi kes-kes Sabah, Sarawak dan Terengganu," katanya lagi.

"Ia sengaja digunakan untuk mendiskriminasikan kerajaan dan rakyat Kelantan."

Sehubungan itu, kata Husam, kerajaan negeri mahu wang ehsan dibayar kepada kerajaan negeri dan sebuah badan penyelaras ditubuhkan yang turut dianggotai wakil kerajaan pusat untuk memantau penggunaan wang tersebut.

“Sekali lagi kami berharap perdana menteri berfikir semula dan mengambil kira tuntutan ini atas prinsip kesaksamaan, kedaulatan wilayah dan semangat federalisme yang utuh serta penghormatan perjanjian yang termaktub demi kesejahteraan dan keharmonian negara malaysia,” katanya.

Mengenai penubuhan panel guaman tersebut, Husam berkata, antara isu yang dicadang dipertimbangkan oleh panel guaman ini ialah:

1. Kemungkinan mengambil tindakan mahkamah membatalkan perjanjian penyerahan hak kepada PETRONAS untuk mencarigali dan mengeluarkan sumber petroleum dan lautan negeri Kelantan 1975 jika sekiranya tuntutan royalti minyak tidak dipatuhi.

2. Kemungkinan untuk kerajaan negeri mengambil tindakan mahkamah di luar negara termasuk perintah injunksi menghentikan pengeluaran di JDA (Kawasan Pembangunan Bersama Malaysia-Thailand) dan CAA (Kawasan Pengurusan Komersial Malaysia-Vietnam) yang melibatkan entiti dan syarikat antabangsa.

“Walau bagaimanapun, keputusan muktamad akan ditentukan kemudian selepas pandangan dari panel guaman tersebut,” kata Husam.

Dalam kenyataan itu juga, beliau turut mempersoalkan mengapa 'wang ehsan' harus diurus oleh kerajaan pusat

“Pengumuman perdana menteri bahawa kelantan hanya layak menerima 'wang ehsan' dan bukannya royalti dan wang ini pula akan diuruskan oleh kerajaan pusat, adalah satu keputusan politik.

“Ia membelakangkan semangat federalisme, kedaultan undang-undang dan penghormatan terhadap perjanjian dan menekankan kepentingan politik semata-mata,” katanya.

Di samping itu, kata Husam, keberkesanan pengurusan oleh kerajaan pusat juga boleh dipertikaikan.

“Sebagai bukti, dengan jumlah royalti yang besar untuk Terengganu bagi tempoh 20 tahun lalu, masih gagal membanteras kadar kemiskinan yang kekal tinggi di Terengganu,” katanya.

Sementara itu, ketika bercakap kepada pemberita selepas mesyuarat exco di Kota Bharu, Husam berkata kerajaan negeri mengambil langkah proaktif itu untuk memastikan tuntutan wang royalti itu, berjaya.

"Kerajaan negeri tidak (dapat) menerima bayaran wang ihsan yang diumumkan hari ini bagi menggantikan bayaran wang royalti minyak kepada Kelantan," katanya dalam laporan Bernama.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan negeri menganggap pemberian wang ehsan itu satu langkah pertama hasil inisiatif kerajaan negeri dalam tuntutan royalti minyak itu.

Menurutnya, kerajaan negeri akan terus mengadakan rundingan dengan kerajaan pusat berhubung tuntutan royalti itu.

Kerajaan Negeri Kelantan sebelum ini telah mengemukakan surat rasmi kepada kerajaan pusat bagi menuntut bayaran royalti minyak berjumlah RM1 bilion sejak 2004 berdasarkan laporan Jabatan Statistik. Malaysiakini/-

Kelantan akan dapat wang ehsan sahaja

KUALA LUMPUR, 4 Nov: Ekoran pengumuman Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa kerajaan pusat akan memberikan wang ehsan sahaja kepada rakyat Kelantan dan bukannya royalti, Dewan Rakyat menjadi kecoh hari ini.

Ia bermula apabila ahli Parlimen Kubang Kerian Salahuddin Ayub meminta Najib menjelaskan bilakah tuntutan royalti kerajaan negeri Kelantan akan dilangsaikan oleh Petronas.
Menjawab soalan itu, Najib menjelaskan bahawa pihak kerajaan sedang mempertimbang untuk memberikan wang ehsan langsung kepada rakyat Kelantan.

Dewan menjadi kecoh dengan njawapan yang diberikan Najib itu kerana ia dianggap menipu dan menafikan hak rakyat Kelantan. .

Beberapa ahli Parlimen bangun lalu menegaskan bahawa persoalan royalti itu adalah penting untuk rakyat Kelantan.

Mereka yang terbabit, termasuk Salahuddin sendiri diminta duduk oleh Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia. Salahudin kemudiannya diberi amaran keluar dewan beberapa jam jika enggan mendengar penjelasan Najib

"Yang penting, kita nak tolong rakyat Kelantan. selepas kita ada semangat nak runding dengan kerajaan negeri, yang penting rakyat dapat manfaat daripada wang ehsan," kata Najib.

"Apa nak dipertikai lagi? Yang penting, rakyat Kelantan mendapat wang ehsan dari (kerajaan) Persekutuan," sindir Najib.

Tanpa laluan Speaker, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad bangkit dan menjelaskan bahawa penjelasan yang diberikan itu tidak menyelesaikan soal kuasa persekutuan dan negeri, sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan dan Perjanjian Petronas bersama kerajaan persekutuan-negeri.

Pun begitu, Speaker memberi laluan kepada Siti Zailah Mohd Yusoff bercakap mengenai isu royalti Kelantan itu dengan alasan ahli Parlimen Rantau Panjang itu boleh dikatakan mewakili rakyat Kelantan.

"Kenapa sebelum ini kerajaan (Persekutuan) tidak pernah mempertimbangkan hak rakyat Kelantan diberikan wang ehsan?" soal Siti Zailah dengan nada yang tegas.

"Setelah rakyat dinafikan hak bertahun-tahun, sekian lama, sekarang hak rakyat Kelantan baru nak dipertimbangkan."

Beliau yang juga Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat meminta Najib menjelaskan soal jaminan persekutuan melangsaikan tuntutan royalti minyak tersebut.

"Apa jaminan kerajaan (persekutuan) bahawa royalti ini disalurkan kepada kerajaan Kelantan dan rakyat, bukannya kepada JPP (Jabatan Pembangunan Persekutuan) yang dilantik kerajaan Persekutuan?" soalnya lagi.

Najib dalam nada yang sinis menjelaskan bahawa sepatutnya rakyat Kelantan tidak ada hak mendapat royalti tersebut.

"Selama ini, kerajaan Kelantan tidak ada hak menerima (royalti minyak), sebab ini melibatkan kawasan pertindihan. Sekarang ini, kita dapat sahkan bahawa ada blok (kawasan minyak dalam laut) yang boleh dipertimbangkan...kita pastikan hanya rakyat Kelantan akan dapat manafaat," kata Najib.

Beberapa Ahli Parlimen Pakatan Rakyat sekali lagi bangkit memprotes jawapan lisan itu.

Bagi mengelakkan Najib terus dipertikai, anggota dari Masjid Tanah yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wira Abu Seman Yusoff bangkit lalu memohon laluan Speaker untuk menjawab soalan lisan seterusnya, yang melibatkan kementeriannya.

Mengikut pengalaman di Terengganu, wang ehsan diberikan terus kepada Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) dan diagihkan menerusi jabatan dan egensi di bawah kerajaan pusat.

Dari segi pelaksanaannya pula, ia akan melalui ketua-ketua bahagian Umno di negeri itu.

Petang semalam, Anggota Parlimen Kubang Kerian, Salahudin Ayub mendesak kerajaan pusat supaya membayar royalti minyak kepada kerajaan negeri Kelantan sebagaimana yang dilakukan kepada negeri-negeri lain.

Cadangan Salahudin ini berikutan dari tuntutan kerajaan negeri Kelantan agar Petronas membayar royalti petroleum sebanyak 5 % sebagaimana yag dinikmati oleh negeri-negeri yang lain yang dikeluarkan minyak dari perairannya.

Tuntutan Kelantan ini disokong oleh Tengku Razaleigh Hamzah yang menandatangani perjanjian ini bagi pihak Petronas dahulu.

Ketika itu beliau adalah Pengerusi Petronas.

Tuntutan ini juga disokong oleh Datuk Zaid Ibrahim, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga hal ehwal undang-undang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib dijangka akan menjawab perkara ini di Dewan Rakyat hari ini. Harakahdaily/-

KRISIS PERAK : IMEJ MALAYSIA BURUK DIMATA MASYARAKAT DUNIA

Mohd hafez sabri

IPOH, 4 November : Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain hari ini sekali lagi menggesa agar kerajaan UMNO dan Barisan Nasional Perak hentikan penipuan terhadap rakyat dan jangan sesekali menzalimi rakyat Perak. Beliau mengatakan, natijah daripada tindakan gelojoh UMNO dan Barisan Nasional merampas kerajaan Perak dengan membelakangkan undang-undang dan perlembagaan Perak, Malaysia kini dilihat semakin lemah di mata dunia. Perkara ini akan menyukarkan Negara Malaysia berhadapan dengan globalisasi dunia .

Menurut beliau lagi Dalam usaha kita menjalin hubungan dengan negara luar, sudah tentu Malaysia akan dilihat sebagai negara yang terkebelakang berbanding negara lain, akibat krisis pelanggaran demokrasi di Negeri Perak ini.

Katanya lagi, perkara ini adalah disebabkan oleh ketiadaan pengasingan kuasa akibat daripada pelanggaran kuasa yang telah dibuatoleh Barisan Nasional. Menurut Perlembagaan Persekutuan, ketiga-tiga badan iaitu badan perundangan (legislatif), badan pentadbiran
(eksekutif) dan badan kehakiman (judiciary) adalah 3 badan yang berasingan yang tidak boleh dicampuri apalagi dirosakkan, perkara ini sangat penting bagi mengelakkan pemusatan kuasa oleh mana-mana badan.

Memetik ucapan beliau ”Akan tetapi, apa yang menjadi masalah kini, UMNO/BN adalah pencetus dan penggerak dalam merosakkan keharmornian ketiga-tiga badan ini di Negeri Perak ” ”Selain daripada itu, tindakan UMNO mengenepikan undang-undang tubuh kerajaan negeri Perak juga merupakan satu lagi pencabulan undang-undang oleh UMNO dan Barisan
Nasional di Negeri ini ”. Menurut beliau lagi akibat tindakan UMNO/BN ini, krisis Perak ini telah mengundang pemerhati politik dari seluruh dunia untuk memerhatikan politik kotor UMNO/ BN di Perak ini.

Natijahnya, politik Perak bukan dilihat sebagai rujukan yang baik untuk dicontohi akan tetapi, rujukan bagaimana sebuah sistem demokrasi boleh diruntuhkan oleh kuasa autokrasi perakar ini terbukti dalam perancangan rampasan kuasa kerajaan negeri oleh UMNO/BN di Perak ini.Jelas beliau.

SOLAT HAJAT UNTUK KEMENANGAN RAKYAT – PESURUHJAYA PAS PERAK

Mohd hafez sabri

IPOH, 4 November – Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain, meminta semua ahli PAS, pemimpin dan penyokong di semua peringkat mengadakan solat hajat bagi memohon pertolongan Allah SWT agar memberi kemenangan dan memelihara keselamatan Dato' Seri Ir Haji Mohamad Nizar Jamaluddin, yang mana pada esok hari akan diputuskan di Mahkamah Persekutuan, siapakah Menteri Besar Perak yang sah disisi undang - undang.

Beliau meminta seluruh ahli PAS dan rakyat yang cintakan keadilan memohon berdoa memohon pertolongan dari Allah SWT agar keputusan tersebut berpihak kepada Dato' Seri Ir Haji Mohamad Nizar Jamaluddin , serta dijauhkan dari perancangan jahat musuh-musuh Islam.

Memetik ucapan beliau “ Saya mengarahkan kepada semua ahli PAS Perak disemua peringkat, supaya melakukan solat sunat hajat secara berterusan, mohon kepada Allah SWT agar diberi kemenangan kepada PAS, diberi Kekuatan kepada PAS, semoga Allah SWT Sentiasa Membela,
Memelihara dan Melindungi pejuang-pejuang PAS, dan semoga Allah SWT Satukan hati seluruh para pejuang Islam dan memfokuskan Matlamat Perjuangan PAS, iaitu menumbangkan kezaliman dan menegakkan Islam.”

InsyaALLAH dengan bantuan daripada Allah SWT, PAS akan beroleh kemenangan sepertimana yang pernah diberikan kepada tentera Allah SWT sebelum ini, seperti yang telah termaktub dalam Al Quran Karim, “Hai orang-orang yang beriman, ingatlah akan nikmat Allah (yang telah dikurniakan) kepadamu ketika datang tentera-tentera, lalu Kami kirmkan kepada mereka angin taufan dan tentera yang tidak dapat kamu melihatnya. Dan Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan” – Surah a-Ahzab ( 33 : 9), jelas beliau.

Solat hajat mohon kemenangan DS. Nizar ke mahkamah esok.

Berhubung dengan kes pembicaraan siapakah Menteri Besar Perak yang sah yang akan diputuskan di Mahkaman Persekutuan Putra Jaya esok, maka saya menyeru kepada seluruh ahli dan penyokong Pakatan Rakyat di seluruh negara dan di mana saja berada supaya melakukan solat hajat memohon dari Allah SWT. agar kemenangan berpihak kepada perjuangan Pakatan Rakyat.

Kerajaan Perpaduan: Najib mengigau dan gila talak!

KUALA LUMPUR, 3 Nov: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dinasihatkan menangani masalah dalaman Barisan Nasional (BN) dan Umno yang penuh dengan isu rasuah dan moral daripada berunding mengenai kerajaan perpaduan dengan PAS.

Ketua Penerangan PAS, Ustaz Idris Ahmad dalam kenyataannya berkata,"Najib masih mengigau untuk berbaik dengan Pas, walaupun Presiden Pas sudah tutup buku untuk berunding mengenai Kerajaan Perpaduan dengan Umno dan BN.

"Kelakuan Datuk Seri Najib tidak ubah seperti orang gila talak, walaupun jandanya tidak mahu berbaik dengan bekas suaminya,"jelasnya.

Ustaz Idris menambah, PAS akan terus memacu ke depan bersama dengan Pakatan Rakyat.

"PAS ingin menasihatkan Datuk Seri Najib selesailah masalah rasuah dan moral dalam umno dahulu dan parti komponen bn yang semakin kelam kabut,"katanya.

Tambahnya, ia adalah strategi pemimpin umno hendak memecah belahkan perpaduan di kalangan Pakatan Rakyat.

"Pemimpin umno tidak perlu menangguk di air keruh, kerana pemimpin PAS matang dalam perhitungan politik. PAS adalah parti yang matang kerana dasarnya dan prinsip yang dipegang tidak pernah goyang kerana perhitungan politik PAS berakar kepada dosa dan pahala, syurga dan neraka.

"PAS ingin menasihatkan Presiden umno, tumpukanlah projek 1Malaysia yang menjadi slogan dan retorik Datuk Seri Najib Tun Razak. Kita tida mahu lagi peristiwa runtuhnya jabatan 1Malaysia berulang lagi sehingga mengorbankan 3 kanak-kanak sekolah di Tapah Perak ketika mengadakan perkhemahan 1Malaysia.

"Jika keadaan ini berterusan satu hari nanti mungkin negara Malaysia digelar sabagai 'Darul Runtuh',tegasnya. _

HarakahDaily.Net/-

Hijau akan jadi konsep pelancongan Kedah

ALOR SETAR, 3 Nov: Kerajaan Negeri Kedah akan memastikan segala perancangan untuk menjadikan Kedah sebagai salah sebuah negeri pelancongan berkonsepkan hijau akan terlaksana dan menjadi satu realiti.

Demikian dinyatakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan dan Pembangunan Masyarakat serta Sumber Tenaga Manusia dan Hal Ehwal Masyarakat India, S.Manikumar.

Menurut Manikumar lagi bermula pada tahun 2010 negeri Kedah akan menjadi pusat pelancongan yang berasaskan kehijauan apabila kesemua perancangan untuk merealisasikannya selesai.

"Kehijauan yang ada di negeri ini merupakan satu kekuatan bagi pelancongan yang ada di negeri ini.Kita akan mengkaji lokasi yang strategik untuk dibangunkan sebagai pusat pelancongan tersebut.Konsep ini juga tidak akan hanya ditumpukan kepada keindahan floranya sahaja malah ia akan turut memberi tumpuan kepada kawasan sungai yang ada dalam negeri ini.

"Kawasan rekreasi sepanjang Sungai Kedah akan diberi tumpuan kerana ia terletak di pusat bandar.Satu lagi konsep yang akan dibawa ialah dengan menarik pelancong yang masuk ke Langkawi untuk datang melihat sendiri konsep kehijauan yang akan dilaksanakan itu."

Manikumar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Selambau berkata, konsep kehijauan ini dipilih kerana sebagai satu daya tarikan negeri Kedah kerana ia bukan sahaja dikelilingi oleh kehijauan sawah padi malah kawasan seperti Gunung Keriang dan Gunung Jerai adalah amat menarik untuk dijadikan sebagai pusat pelancongan yang mampu membawa pendapatan kepada negeri ini. _

HarakahDaily.Net/-

Nik Aziz kesal penangkapan Dr Asri

KOTA BHARU, 3 Nov: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, melahirkan rasa dukacita di atas penangkapan yang dilakukan ke atas bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin.

Ketika dihubungi Harakahdaily beliau berkata, tindakan berkenaan amat tidak wajar dilakukan ke atas seorang pendakwah apa lagi kesalahannya belum dapat dipastikan.

Beliau berkata demikian ketika mengulas insiden tangkapan yang berlaku ke atas pendakwah berkenaan malam tadi ketika menyampaikan kuliah agama di Taman Sri Ukay, Kuala Lumpur.

Tuan Guru yang juga Mursyidul Am PAS itu juga mengngagap ia satu tindakan yang melampau kerana menangkap seorang tokoh agama yang juga bekas mufti.

"Penangkapan itu amat tidak masuk akal, masih ramai lagi orang yang patut ditangkap, tetapi kenapa seorang pendakwah, dia mengajar agama dan bukannya buat huru hara atau melakukan sesuatu yang bertentangan dengan agama,"ujarnya lagi

Nik Aziz berkata walaupun ada pihak mendakwa Dr Mohd Asri menyebarkan ajaran Wahabbi, ia perlu diperhalusi terlebih dahulu bagi memastikan ia benar-benar salah di sisi undang-undang.

"Nasihat saya kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), jangan buat untuk kali kedua kerana akan merosakkan imej Islam di Malaysia dan seterusnya merosakkan imej golongan pendakwah itu sendiri," katanya.

Beliau meletakkan masaalah itu seharusnya dibincang terlebih dahulu antara Asri dengan JAIS dan bukannya terus menangkap tanpa pasti kesalahannya.

Katanya, kalau benar dia telah melakukan kesalahan di sisi undang-undang, barulah tindakan diambil terhadapnya dan bukannya menangkap begitu sahaja tanpa mengetahui hujung pangkalnya.

"Masyarakat juga menjadi keliru dengan kejadian itu," ujarnya lagi,_

HarakahDaily.NEt/-

Jais diminta hadir mesyuarat exco, jelas isu tahan Dr Asri

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan mendapatkan penjelasan lanjut daripada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berhubung penahanan dan siasatan terhadap bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Menteri besar Selangor juga mengundang mufti untuk memberi penjelasan isu tersebut kepada anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dalam mesyuarat mingguannya esok.

Mohd Asri disiasat bawah Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003 atau mengajar agama tanpa tauliah selepas ditangkap tengah malam semalam di Hulu Kelang.

Beliau ditahan ketika menyampaikan kuliah agama di sebuah banglo milik seorang ahli perniagaan di Taman Sri Ukay.

Turut hadir di tempat kejadian, ahli parlimen PKR bagi Ampang, Zuraida Kamaruddin dan ADUN PAS bagi Hulu Kelang, Saari Sungib.

Pengarah Jais, Datuk Mohammed Khusrin Munawi semalam menjelaskan, jabatan belum mendakwa Dr Mohd Asri kerana siasatan jabatan itu setakat ini belum mencukupi.

Dr Mohd Asri mempertikaikan arahan Jais memintanya hadir di Mahkamah Syariah Gombak Timur pagi semalam walaupun tidak mendakwanya.

Mohammed Khusrin kemudian berkata agamawan itu dibawa ke mahkamah bukan untuk didakwa tetapi untuk jaminan bon melanjutkan tempoh siasatan.

MalaysiaKini/-

Permohonan batal kes liwat 23 Nov

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 23 November ini bagi mendengar permohonan baru Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membatalkan tuduhan liwat terhadapnya.

Manakala tarikh yang sama juga ditetapkan untuk mendengar sebutan kes liwat itu.

Hakim Datuk Zabidin Md Diah menetapkan tarikh tersebut apabila perkara itu dibawa ke mahkamah berkenaan pagi ini.

Awal bulan lalu, Anwar gagal membatalkan tuduhan tersebut di MahkamahTinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) selepas mahkamah berkenaan memutuskan ia tidak ada kuasa untuk mendengarnya.

Hakim kemudiannya memutuskan supaya permohonan tersebut didengar di mahkamah jenayah dan bukannya di mahkamah bahagian rayuan dan kuasa-kuasa khas.

Ekoran itu, ketua pembangkang itu telah memfailkan permohonan baru untuk membatalkan tuduhan liwat terhadapnya.

Anwar, 62, tidak mengaku salah terhadap tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 24 di sebuah kondominium di Bukit Damansara pada 26 Jun tahun lalu.

Mohd Saiful dilihat hadir di mahkamah pagi ini.

Ketika ditemui wartawan, Mohd Saiful berkata dia sudah bersedia untuk memberi keterangan di mahkamah berhubung kes tersebut.

MalaysiaKini/-

MCA pecat empat AJK pusat

Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat memecat empat anggota Jawatankuasa Pusat (CC) MCA yang dilantik pagi ini - kira-kira empat jam sebelum mesyuarat CC berlangsung tengahari ini.

Mereka yang dipecat itu ialah Datuk Chor Chee Heung, Datuk Chai Kim Sen, Yoo Wei How dan Gan Hon Su - semuanya penyokong Timbalan Presiden yang baru dilantik, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Mereka adalah antara 16 anggota jawatankuasa pusat yang menandatangani memorandum mendesak supaya mesyuarat agung luar biasa (EGM) MCA diadakan bagi menentukan sama ada perlu diadakan pemilihan pucuk pimpinan MCA yang baru.

Chor merupakan timbalan menteri kewangan, manakala Chai pula setiausaha agung Pemuda MCA

Yoo pula merupakan setiausaha organisasi MCA manakala Gan adalah timbalannya.

Ekoran iatu, tiga orang - Tan Chin Meng, Chua Tee Yong dan Datuk Donald Lim - dilantik sebagai anggota jawatankuasa pusat.

Manakala Senator Heng Seai Kie pula dilantik menggantikan Lee Wee Kiat dilantik sebagai ketua penerangan. Lee merupakan antara penyokong Liow.

Heng merupakan setiausaha agung Wanita MCA dan juga timbalan menteri penerangan, telekomunikasi, kesenian dan kebudayaan.

Sementara itu, Bernama melaporkan Chor memberitahu sidang akhbar petang tadi bahawa mereka menerima surat pengguguran masing-masing pada jam 10.30 pagi tadi sebelum mereka dapat enghadiri mesyuarat jawatankuasa itu diibu pejabat parti.

"Tindakan ini adalah sesuatu yang mengejutkan kerana kami sudah bersedia ntuk hadir mesyuarat itu bagi membincangkan agenda penting mengenai pelan perpaduan parti," katanya.

Beliau berkata tindakan Ong itu akan menjadikan MCA bahan cemuhan kerana, pada ketika Ong menghebahkan rancangannya untuk menyatukan parti, beliau juga menyingkirkan mereka yang tidak sehaluan dengannya.

Chor mendakwa, tindakan Ong itu merupakan satu perbuatan balas dendam terhadap pemimpin-pemimpin MCA yang tidak bersetuju dengannya.

Beliau juga berkata kedudukannya sebagai timbalan menteri tidak terjejas kerana kuasa pelantikan itu adalah pada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Yoo dan Gan pula berkata mereka tidak tahu sebab pengguguran mereka.

MalaysiaKini/-

Dr Chua kini timb presiden MCA

kemaskini 3.59pm Datuk Seri Dr Chua Soi Lek mendapat semula jawatannya sebagai timbalan presiden MCA selepas digugurkan susulan dipecat daripada parti kira-kira dua bulan lalu.

Ketika dihubungi Malaysiakini SMS, Chua mengesahkan Pendaftar Pertubuhan (ROS) telah mengesahkan beliau masih memegang jawatan tersebut.

"Betul, terima kasih," jawabnya ringkas.

Pengumuman mengejut itu dibuat oleh ROS hari ini ketika jawatankuasa pusat parti itu sedang mengadakan mesyuarat di ibu pejabatnya di Jalan Ampang, Kuala Lumpur tengah hari ini.

Surat ROS itu dihantar terus kepada kepemimpinan MCA.

Kedudukan ini mengembalikan senario sebelum krisis parti itu - akibat pemecatan Dr Chua dan keputusan mesyuarat agung luar biasa MCA awal bulan ini - dan sekali gus memeningkan kepada Datuk Seri Liow Tiong Lai yang dilantik menggantikan Dr Chua.

Naib presiden itu, yang dilantik kepada jawatan nombor dua tersebut pada 15 Oktober lalu, dianggap melawan Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat selepas kumpulannya mendesak pemilihan baru parti diadakan.

Jika Liow, yang memegang jawatan timbalan presiden selama 19 hari itu, enggan menerima keputusan ROS itu, beliau boleh membuat rayuan.

Atau, beliau mungkin boleh terus mendesak melalui kempennya supaya diadakan EGM baru bagi memilih semula pucuk pimpinan MCA.

Ketika tiba jam 1.10 tengah hari di Wisma MCA, tempat mesyuarat itu diadakan kira-kira 10 minit kemudian, Dr Chua kelihatan tenang dan kemudian melangkah terus ke bilik mesyuarat.

Chua dipecat dari jawatan timbalan pesiden pada 26 Ogos, tetapi jawatankuasa pusat MCA kemudiannya membatalkan keputusan itu dan sebaliknya menggantung keahlian bekas menteri kesihatan itu selama empat tahun.

Dalam mesyuarat jawatankuasa pusat yang sedang berjalan, difahamkan Ong telah memaklumkan bahawa Dr Chua kini adalah timbalannya.

Mesyuarat jawatankuasa itu juga dimaklumkan mengenai pemecatan empat anggota CC yang dilantik - kesemuanya penyokong Liow.

Mereka yang dipecat itu ialah Datuk Chor Chee Heung, Datuk Chai Kim Sen, Yoo Wei How dan Gan Hon Su (foto kiri) - semuanya penyokong Timbalan Presiden yang baru dilantik, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Berikuan itu, Ong menggunakan kuasa presiden untuk melantik tiga anggota baru yang menyokong Chua. Mereka ialah naib ketua MCA Perak Tan Chin Meng, bekas naib presiden Donald Lim dan anak Chua, Tee Yong.

Ong turut melantik orangnya untuk mengisi dua jawatan penting. Beliau melantik setiausaha agung Wanita, Senator Heng Seai Kie sebagai ketua penerangan, menggantikan Lee Wee Kiat - seorang penyokong Liow. Heng juga merupakan timbalan menteri penerangan, telekomunikasi, kesenian dan kebudayaan.

Beliau juga melantik pemimpin veteran, Lim Hong Sang - yang dilihat sebagai penyokong setianya - sebagai ketua biro undang-undang MCA yang baru, menggantikan Leong Tang Chong yang dipecat dua minggu lalu.

Sementara itu, ketika Chua keluar sebentar dari mesyuarat CC untuk ke tandas, beliau menjadi buruan para wartawan.

Mereka terus menerus meminta komennya mengenai keputusan ROS mengekalkannya sebagai timbalan presiden.

"Saya dimaklumkan mengenainya melalui sepucuk surat dari ROS pada jam 11.30 pagi tadi. Ia adalah keputusan yang dibuat berdasarkan kepada perlembagaan parti."

Liow pula, ketika ditemui wartawan ketika hendak di tandas, bagaimanapun enggan menjawab soalan wartawan.

Mesyuarat CC tamat jam 5.30 petang di mana Liow, Ketua Wanita Datin Paduka Chew Mei Fun dan Ketua Pemuda Datuk Wee Ka Siong beredar tanpa menghadiri sidang akhbar selepas itu.

MalaysiaKini/-

Liow-Chua berebut timb presiden

Datuk Seri Liow Tiong Lai mempertahankan kedudukannya sebagai timbalan presiden MCA walaupun Pendaftar Pertubuhan (ROS) hari ini mengiktiraf Datuk Seri Chua Soi Lek kekal memegang jawatan tersebut.

Chua menerima surat dari ROS itu pagi ini sebelum jawatankuasa pusat MCA bermesyuarat untuk membincangkan pelan damai antara beliau dan Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat.

Bercakap kepada pemberita dalam satu sidang akhbar selepas mesyuarat jawatankuasa pusat petang ini, Liow berkata, beliau ada hak untuk merayu terhadap keputusan ROS itu.

Chua dipecat dari jawatan timbalan pesiden pada 26 Ogos. Jawatankuasa pusat MCA kemudiannya membatalkan pemecatan Chua dan sebaliknya menggantung keahlian bekas menteri kesihatan itu selama empat tahun.

Manakala Liow yang dilantik memegang jawatan nombor dua tersebut pada 15 Oktober lalu, dianggap melawan Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat selepas kumpulannya mendesak pemilihan baru parti diadakan.

Bercakap dalam satu lagi sidang akhbar selepas mesyuarat jawatankuasa pusat, Tee Keat berkata, mesyuarat hari ini menerima keputusan ROS mengekalkan Chua sebagai timbalan presiden.

Liow memegang jawatan timbalan presiden selama 19 hari.

Berikutan perkembangan terbaru itu, maka usaha terkini untuk menyelesaikan krisis MCA melalui pelan damai, mungkin sekali lagi berdepan dengan jalan buntu.

Liow memberitahu sidang akhbar bahawa "saya masih lagi timbalan presiden".

Katanya, beliau mempunyai hak untuk membuat rayuan terhadap keputusan ROS itu atau membawanya ke mahkamah jika perlu.

Liow juga melahirkan rasa terkejutnya dengan tindakan Tee Keat memecat empat anggota CC yang dilantik, yang menyokong menteri kesihatan itu pagi tadi.

Beliau berkata, ia bukanlah satu cara untuk menjayakan pelan damai kerana "keempat-empat mereka menjadi mangsa sebelum pelan itu dapat dilaksanakan".

"Pelan itu mestilah inklusif dan bukannya tindakan drastik seperti pemecatan (mereka)," katanya.

Hadir sama dalam sidang akhbar Liow ialah penyokong kuatnya, termasuk Ketua Wanita Datin Paduka Chew Mei Fun dan Ketua Pemuda Datuk Wee Ka Siong.

Hadir ialah sembilan orang lagi anggota CC yang menyokogn Liow.

Liow memberi tiga sebab mengapa pengekalan jawatan Chua sebagai timbalan presiden adalah tidak sah, iaitu.

1. Jawatankuasa pusat menggantung keahlian dan jawatan Chua sekaligus.

2. ROS tidak ada hak untuk campurtangan dalam keputusan CC.

3. Ia adalah tindakan disiplin dan bukan satu penyingkiran.

Sementara itu, bekas ahli Parlimen Melaka, Wong Nai Chee - salah seorang daripada tiga orang yang mengemukakan desakan diadakan mesyuarat luar biasa (EGM) MCA - berkata EGM itu pastikan akan diadakan.

Beliau yang juga seorang peguam berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Tee Keat yang menyatakan desakan untuk mengadakan EGM itu bercanggah dengan perlembagaan parti.

Sehubungan itu, Wong berkata, mereka akan menemui setiausaha agung MCA dan ketua biro undang-undang parti itu untuk menyesuaikan kandungan resolusi bagi mengadakan EGM tersebut.

Menurutnya, setiausaha agung MCA perlu mengeluarkan notis untuk mengadakan EGM itu Khamis ini.

MalaysiaKini/-

Siapa Shahidan yang boleh sahkan Dr. Asri sesat atau tidak ?

Kelmarin saya memaklumkan mengenai kehairan saya apa bila tok jahil pergi tangkap tok alim dalam tindakan pihak polis bersama pegawai JAIS menyerbu dan menangkap Dr. Asri yang sedang mengajar agama disebuah rumah di Selangor.

Hari ini satu lagi kenyataan yang mengejutkan semua kalau difikirkan dengan waras. Saya membaca kenyataan bekas Menteri Besar Perlis, Shahidan Kasim yang mengesahkan Dr. Asri tidak sesat.

Apakah sebenarnya kelayakan Shahidan yang boleh mengesahkan Dr.Asri sesat atau tidak. Tinggi sangatlah ilmu Shahidan sekarang yang boleh mengesahkan seseorang itu menyeleweng akidahnya atau tidak. Tidakkah dia berasa malu dengan kedudukanya yang tidak selayaknya boleh mengesahkan sesat atau tidaknya ilmu seseorang.

Saya rasa semua sudah maklum dengan kemampuan Ilmu dan kelayakan pendidikan Dr.Asri yang tidak perlu dipertikaikan lagi. Malah ia tidak menambah dan mengurangkkan kelayakan kalaupun beribu kali seorang tok jahil pergi sahkan benar atau tidak ilmu seorang tok alim.

Gambar sekitar lawatan ke Kuala Dipang, Kampar